August 08, 2009

Sejarah Yang Perlu Kita Tahu - Pembelian Keretapi Kerajaan Singapura


Semenjak tahun 1869 sememangnya terdapat minat peribadi terhadap pembangunan keretapi di Singapura dan kerajaan kolonial juga berminat untuk menyokong mana-mana syarikat persendirian yang akan melabur dalam pembangunan keretapi. W.J. Du Port, seorang Jurutera di Syarikat Limbungan Tanjung Pagar menyediakan rancangan untuk pembinaan keretapi dari New Harbour ke bandar, yang akan dibiayai oleh Singapura dan New Harbour Railway Co. dengan modal $200,00.

Berikutan dengan kemerosotan dagangan, projek ini tidak dapat diteruskan. Namun demikian pada tahun 1871, Tanjung Pagar Railway Co. dan Singapore Harbour New Co. mencuba sekali lagi tetapi tidak berjaya kerana Setiausaha Kerajaan Jajahan memilih laluan yang lebih panjang. Pada tahun 1874, Sir Andrew Clarke mengumumkan sokongannya kepada mana-mana syarikat persendirian tetapi tidak mendapat sambutan.

Bukit Panjang Station

Setelah sekian lama keretapi Port Weld - Taiping dibuka akhirnya pada tahun 1896, Sir Cecil Clementi - Smith mengambil tindakan dimana $1,000,000 telah diluluskan pada tahun 1899 untuk pembinaan keretapi dari Tank Road ke Kranji dan Mr. C. C. Spooner telah dilantik sebagai penasihat mengenai hal ehwal keretapi. Kerja-kerja bermula pada awal tahu 1900. Keretapi ini bermula sebagai "Keretapi Singapura dan Kranji" dan tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan projek ini.

Pada akhir tahun 1901 kerja-kerja tanah telah berjalan dengan lancar. Tiga jambatan telah disiapkan dan enam lagi dalam pembinaan dan 76 saliran telah juga disiapkan. Bahan-bahan seperti 32,576 kayu landasan, 16 1/2 batu panjang rel dan 50 set poin telah diperolehi. Hampir kesemua sisian telah dipasang di yard Stesen Singapura dan 1 3/4 batu laluan utama telah dibina termasuk penyediaan batu balas. Terdapat 592 orang bekerja dilaluan tersebut. Pagar sepanjang 7 batu juga disiapkan. Batu asas stesen Singapura dari Scotts Road juga disediakan.

Bukit Timah Station

Kerja-kerja pembinaan stesen-stesen ini dan stesen di Cluny Road, Bukit Timah dan Tanjung Panjang juga sedang disediakan. Kerja-kerja pembinaan untuk puncak feri di Woodland berjalan dengan lancar, disamping pemasangan tiang telefon sejauh lebih kurang 10 batu dan pemasangan penyangga serta insulator. Lapan koc penumpang empat-roda telah diperolehi dan sebuah koc kelas satu dalam pembinaan. Menjelang 30 November 1902, semua stesen hampir siap, dibina termasuk juga Menara di Woodlands. Stok kereta juga sedia untuk beroperasi dan kos keseluruhan berjumlah $1,562,392.

Tank Road Station

Landasan keretapi Singapura dan Kranji dibuka untuk trafik pada tahun 1903. Perkhidmatannya bermula dari Tank Road ke Bukit Timah , buat permulaannya terdapat sembilan tren setiap hari tetapi lapan tren pada hari minggu. Mulai 16 Julai bilangan tersebut di tambah kepada enam tren ke Woodland dan tiga tren ke Bukit Timah. Panjang landasan adalah 15 batu dengan perkhidmatan feri ke Johor Bharu yang dianggap jaraknya sebagai sebatu. Perlu diingat pada masa tersebut tiada keretapi di Johor dan Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu telah menyiapkan laluan pertamanya dari Prai hingga ke Seremban sahaja. Pada akhir tahun pertama seramai 35,075 penumpang menggunakan keretapi dan menghasilkan pendapatan dari pengangkutan barang-barang.


Woodland ferry train Station & jetty

Akaun kewangan keretapi Singapura dan Kranji pada akhir 31 Disember 1903 adalah sebanyak $1,802,353 dan dividen yang diperolehi ke atas akaun kewangan ini untuk tahun pertama adalah bersamaan dengan 2.27 peratus. Jumlah hasil ini diperolehi dari trafik penumpang kecuali sebahagian kecil iaitu $1,171 dari barang-barang. Perbelanjaan operasi adalah $94,801. Lebih daripada 80% pendapatan adalah dari penumpang koc kelas tiga. Pengurus Keretapi, Mr. W. Tearle, yang sebelum ini bertugas dengan Keretapi Singapura, mengkaji prestasi tahun pertama operasi, merasakan bahasa terminal (Tank Road) adalah terlalu jauh dari pusat bandar.

Dua buah lokomotif menggunakan kayu arang digunakan untuk menarik tren dan yang ketiganya untuk kerja-kerja balas manakala perkhidmatan feri beroperasi dengan dua kapal iaitu "S.S. Singapore" dan "S.S. Johore". S.S. Singapore beroperasi mulai 1 April 1903 dan S.S. Johore mulai 20 September pada tahun yang sama.

Newton Station

Stesen Tank Road merupakan terminal Singapura pada tahu 1903. Pada permulaannya terdapat empat buah stesen tetapi bertambah sebanyak lapan stesen pada penghujung tahu 1903. Empat stesen yang pertama ialah Singapura, Newton, Cluny Road, dan Bukit Timah. Pada tahun berikutnya terdapat lapan stesen dengan tambahan stesen Holland Road, Bukit Panjang, Woodlands dan Johor. Pendapatan untuk tahun 1904 meningkat kepada $195,660 iaitu pertambahan hampir $60,000.

Dari Tank Road, laluan keretapi diperluaskan ke Limbungan dan Pasir Panjang dengan 10 buah stesen kesemuanya dan dibuka kepada trafik pada 21 Januari 1907. Jumlah pendapatan meningkat kepada $203,541 menunjukkan pertambahan sebanyak $8,011 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kebanyakan daripada pendapatan tersebut ($178,069) masih datang dari kutipan tambahan penumpang yang mana Tank Road menjual paling banyak tiket manakala Johor tempat kedua dan Newton tempat ketiga. Hasil dari perkhidmatan barang-barang hanya berjumlah $15,812. Pada Ogos 1907 Pengurus, Mr. Tearle telah bercuti seterusnya bersara pada bulan November. Beliau digantikan oleh Mr. J.H. Williams yang juga menanggung tugas sebagai seorang jurutera.

Jumlah laluan pada tahun 1907 adalah 21 batu dan peruntukkan kewangannya adalah $3,510,444. Keuntungan bersih yang diperolehi untuk tahun tersebut ialah $54,805. Penerimaan kasar pada tahun 1907 adalah $203,541.

Jumlah hasil meningkat secara berterusan. Pada tahun 1909 hasil yang diperolehi ialah $233,792 iaitu pertambahan sebanyak $38,845 dan pada tahun 1910 hasil diperolehi adalah $271,940 dengan pertambahan jumlah yang hampir sama, $38,147 dan pada tahu 1911 peningkatan sebanyak $2,421 dengan pendapatan sebanyak $252,673. Laporan Tahunan 1912 Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu menyatakan "Tahun sebelumnya adalah begitu penting sekali dalam sejarah pembangunan keretapi di semenanjung. Keretapi Kerajaan Johor dan Keretapi Kerajaan Singapura yang telah dimasukkan dalam Pentadbiran Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu berkuatkuasa 1 Januari".

Kejayaan perkhidmatan keretapi memungkinkannya untuk mengurangkan kadar tambang. Tambang penumpang Kelas satu dikurangkan dari 6 sen ke 3 sen sebatu. Selain pengurangan yang besar pada kadar tambang bungkusan adalah juga pengurangan ke atas kadar kayu api. Pengenalan kadar tambang trak adalah untuk kerja pembinaan besi kepada keluli. Menjelang tahun 1907 keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu telah memperluaskan laluan dari Seremban ke Gemas dan bersambung dengan Keretapi Kerajaan Johor seterusnya bermulalah perkhidmatan tren terus. Perkhidmatan terus ke Singapura adalah menggunakan feri bagi meneruskan perjalanan ke Keretapi Singapura dan Kranji. Pengangkutan barang dibawa dengan gerabak feri yang dikendalikan bersama oleh Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu, Keretapi Kerajaan Johor dan Keretapi Singapura dan Kranji.


Laporan Tahunan keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu pada tahun 1913 menyatakan bahawa Keretapi Kerajaan Singapura sejauh 19 batu dan 41 rantai adalah dibeli dari Kerajaan Kolonial pada harga $4,136,000. Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu mempunyai rancangan awal untuk membina semula stesen Tank Road dan landasan berkembar ke Bukit Timah. Dengan itu berakhirlah Keretapi Kerajaan Singapura yang berkhidmat di kolonial tersebut selama 10 tahun iaitu dari tahun 1903. Stesen yang sedia ada di Tanjong Pagar adalah dibina pada tahun 1932. Ini merupakan bangunan yang mengkagumkan dengan siling yang tinggi dan luar biasa diruang menunggu yang digabungkan dengan lukisan mural yang indah menonjolkan pemandangan Malaya. Ini merupakan peninggalan yang membanggakan bagi pihak Kolonial dan warisan yang sentiasa diingati oleh Kerajaan Tanah Melayu.

0 advisers: